23 July 2012

Tip puasa yang berkesan kepada kesihatan.


Semasa berpuasa, aktiviti memproses makanan akan berkurangan (atau berhenti bagi tempoh waktu yang telah ditetapkan). Tetapi proses perkumuhan atau pembuangan masih tetap berjalan. Oleh kerana sel badan dapat memberi tumpuan kepada proses pembuangan bahan buangan dan toksin, proses ini dapat berjalan dengan lebih efisyen. Dalam keadaan ini juga, badan kita akan mengalihkan sumber tenaga dari glukosa kepada lemak yang tersimpan. Pembakaran lemak ini akan mengeluarkan toksin dari sel dan seterusnya dapat dibuang keluar. Bagi proses perkumuhan ini, hati dan buah pinggang memberi lebih tumpuan kepada pembuangan toksin dan bahan buangan lain kerana dapat berehat dari memproses bahan makanan. Pada masa yang sama, darah (bersama oksigen dan bahan buangan dari sel-sel) dapat mengalir ke otak dan organ-organ lain.


Perlu dinyatakan bahawa proses pembuangan toksin dari badan yang berlaku semasa berpuasa tidak akan dapat dilakukan dengan baik jika seseorang itu mengalami sembelit (susah membuang air besar). Usus besar adalah di antara organ perkumuhan utama badan. Organ perkumuhan lain termasuk hati, ginjal, paru-paru dan kulit. Jika kurang air di dalam badan, buah pinggang akan menjadi kurang efisyen. Oleh itu semasa puasa, usus besar dan buah pinggang perlu dijaga supaya berupaya menjalankan proses perkumuhan yang akan membersihkan badan dan memulihkan fungsi sel secara optima. Proses pembuangan toksin dari dalam sel-sel badan terutama sel lemak akan menyebabkan pengaliran semula toksin ini ke saluran darah sebelum ia dapat keluar dari badan. Proses pengaliran toksin ini akan menimbulkan gejala-gejala yang sering berlaku pada awal puasa. Di antara gejala-gejala yang mungkin dialami pada awal puasa ialah:-
  • Sakit kepala - ini berlaku kerana toksin yang terkumpul dalam sel mengalir ke saluran darah sebelum ia dikeluarkan dari badan
  • Lengoh badan
  • Lidah berdaki dan mulut berbau
  • Kencing pekat dan berbau
  • Cirit-birit
  • Letih lesu - keadaan ini berlaku di awal puasa kerana badan kita tidak menggunakan tenaga yang tersimpan dalam badan dan masih mengharapkan tenaga dari makanan dari luar. Maka gula di dalam darah berada di tahap rendah dan badan terasa lemah longlai, walaupun pada hakikatnya tenaga tersimpan dalam bentuk lemak mencukupi untuk beberapa bulan tanpa makan!
CARA BERPUASA YANG TIDAK BERKESAN
Berikut adalah beberapa cara atau kebiasaan yang harus dijauhi supaya kita mendapat manfaat puasa sepenuhnya –
  • Makan terlalu banyak samada pada waktu sahur atau berbuka
  • Memakan makanan yang pedas, berempah atau payah dihazam
  • Memakan terlalu banyak daging binatang terutama bagi mereka yang mengidap batu karang, gout, allergi, alahan)
  • Suka mengulangi makanan sepanjang malam
  • Kurang minum air pada malam hari atau lebih minum air semasa makan.
  • Tidur selepas makan (perut kenyang)
  • Minum terlalu banyak kopi atau teh.

Puasa yang berjaya adalah puasa yang diamalkan mengikut Sunnah Rasulullah s.a.w. dan bukan puasa tradisional Melayu. Puasa yang berjaya akan membuahkan keadaan rohani dan jasmani yang dinamik, bersih dan diperbaharui!
Kunci bagi kejayaan puasa ialah kawalan yang baik semasa berbuka dan bersahur. Cadangan saya semasa berbuka ialah memakan makanan yang senang hadam, yang mengandungi banyak serat dan dalam kadar yang sederhana. Amalan Rasulullah s.a.w. memakan buah tamar semasa berbuka adalah baik sebab tamar mempunyai kandungan karbohidrat yang tinggi di samping mengandungi asid amino - diantaranya ialah triptofan yang didapati boleh menenangkan perasaan. Yang saya tahu, Rasulullah s.a.w. berbuka dengan buah tamar sahaja dan tidak mengikuti dengan nasi serta lauk pauk atau kuih muih. Kawalan berbuka seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. mungkin terlalu susah bagi kita ummat Muhammad di abad 21 untuk mencontohi. Tetapi jika kita beringat, perkara ini akan menyenangkan kita untuk mengawal nafsu makan.
Bagi tujuan mengawal pengambilan kuantiti makanan atau minuman secara berlebihan, kita perlulah bersederhana semasa menghidang juadah berbuka dan makan sahur. Jika banyak yang dihidang dari anika jenis dan rasa, sudah tentulah sukar untuk mengawal apa yang sudah ada di depan mata. Kita harus mengambil peluang ini untuk berjimat khususnya bagi belanja ke atas makanan pada bulan puasa. Oleh itu bilangan dan kadar makanan harus dihadkan. Begitu juga dengan air minuman. Sediakan air minum dari bahan semula jadi serta elakkan menggunakan gula putih, sirap, pewarna dan perasa tiruan. Sebagai gantian kepada gula putih, anda boleh guna gula merah, madu lebah atau jus buah asli.
Amalan yang baik untuk menyenangkan pembuangan air besar ialah dengan meminum air yang yang ditambah dengan kembang semangkuk dan biji selaseh serta getah anggur semasa berbuka. Selain dari membantu membuang air besar, ramuan ini juga mencuci usus. Elak juga kopi dan teh kerana minuman ini mempunyai kafein yang boleh memberi banyak rangsangan kepada saraf dan jantung semasa berpuasa. Kafein juga memberi rangsangan kepada perut menyebabkan peengeluaran asid hydroklorik secara berlebihan, dan ini boleh menyebabkan keadaan pedih perut atau gastrik.
Protein binatang adalah makanan yang paling komplex dan susah untuk dihadamkan. Ia juga adalah makanan yang mempunyai kandungan bahan buangan yang paling banyak. Keadaan ternakan dan cara yang diamalkan sekarang menyebabkan protein binatang menjadi bahan yang paling tercemar dengan bahan kimia dan berbagai jenis racun termasuklah kuman, hormone, antibiotik dan logam-logam berat serta racun serangga dan lain-lain lagi. Untuk menambah manfaat puasa adalah wajar kita kurangkan memakan protein binatang semasa puasa. Sebagai gantian, kita boleh makan banyak protein sayur dalam bentuk kekacang seperti kacang dhal, kacang soya, kacang hijau, kacang merah dan lain lain. Walaupun protein di dalam sayur tidak lengkap, dengan mempelbagaikan sayuran dan mencampurkan jenis yang dimakan, ia akan melengkapkan diantara satu sama lain. Bagi memudahkan kefahaman, saya bahagikan proses puasa (bulan Ramadhan) kepada:-
Fasa Pertama ( 2 – 3 hari berpuasa )
Fasa Asidosis ( 3 – 14 hari seterusnya )
Fasa Akhir ( 14 hari hingga akhir Ramadhan )

Fasa Pertama
Masa : 2 – 3 hari pertama berpuasa
Gejala : Perut lapar, badan letih, cepat marah – gejala disebabkan kadar glukosa dalam darah rendah. Di dalam fasa pertama inilah sipuasa terasa amat terduga dan inilah yang paling susah hendak dilalui sebab badan belum biasa dangan keadaan perut kosong dan rutin baru yang di amalkan oleh sipuasa.
Fasa Asidosis
Masa : hari ke 3 – 14
Kurang selera makan, senang gelap mata, nafas berbau, lidah menjadi `putih` atau berdaki - akibat keadaan ketosis ini gejala yang mungkin dialami oleh sipuasa. Untuk menangani fasa ini, iaitu keadan di mana sipuasa mengalami tekanan darah rendah dan senang gelap mata, sipuasa dinasihatkan tidak berdiri atau bangun dengan tiba tiba. Jika dari baring hendak berdiri, kenalah duduk dulu seketika sebelum bangun. Sipuasa tidak perlu menghentikan aktiviti jasmani atau perkerjaan sebab fasa ini tidak bererti badan menjadi lemah. Bekalan lemak seorang yang berbadan sederhana adalah cukup untuk beberapa bulan dan yang berbadan gemuk mempunyai bekalan lebih dari itu!

Di fasa ini badan mulai mengambil lemak sebagai bahan bakar dan tidak karbohidrat disebabkan bekalan karbohidrat sudah berkurangan. Keadaan ini hanya akan dihasilkan jika pengambilan makanan sipuasa kurang dari keperluan badan. Jika sipuasa mengurangkan penggunaan tenaga atau melebihkan rehat serta memakan berlebihan dan menukar aktiviti / jadual hariannya , keadaan ketosis ini tidak akan terhasil. Fasa ini adalah fasa pembuangan toksin dan bahan kotor dari badan. Gejala-gejala yang dihadapi berpunca dari pembuangan toksin ini. Lagi banyak toksin di dalam badan, lagi lamalah keadaan ini akan berlarutan. Jika anda mengesyaki badan anda mengandungi banyak toksin (selalunya orang yang berbadan gemuk, banyak memakan barang yang tercemar, banyak memakan ubat jenis `drugs', mengidap sembelit atau buang air besar jarang-jarang, mengidap penyakit yang berpunca dari toksin seperti sesetengah jenis penyakit artritis), anda boleh kurangkan kesan asidosis ini dengan membuat persediaan yang rapi dan latihan pra-puasa yang baik. Jika tidak, mungkin badan tidak mendapat sepenuhnya manfaat puasa dan mungkin membawa mudharat kepada hati yang terpaksa menanggung beban pembersihan toksin.

Fasa Akhir
Masa : Dari 14 – akhir puasa Ramadhan
Gejala : Lidah jadi bersih, nafas hilang berbau, selera makan baik, tenaga mula pulih, kadar glukos kembali normal
Mental, emosi dan badan semakin `optima` dan anda menjadi `orang baru`. Keadaan puasa begini hanya dicapai oleh mereka yang benar-benar mengawal makan dan minum supaya proses `asidosis & ketosis` didalam badan berjalan lancar. Seperti yang disebutkan tadi, persediaan sebelum puasa akan dapat mengurangkan gejala-gejala yang dihadapi semasa puasa Ramadhan. Persediaan pra-puasa ini bertujuan membersihkan hati dan mengoptimakan fungsinya serta dapat mengurangkan toksin didalam badan. Tanda-tanda seseorang itu mempunyai banyak toksin di dalam badan atau mempunyai hati yang fungsinya kurang optima, ialah:
  • mengidap sakit kepala bila ia terlepas waktu makan
  • sembelit
  • sukar menghazamkan lemak
  • mengantuk selepas makan.
  • kerap kembung perut
  • mulut terasa pahit
  • jerawat dan ruam atau kulit kering
  • gemuk
  • nafas berbau
  • alahan makanan
  • masalah penghadaman
  • selalu merasai tekanan emosi, baran, cepat marah, sensitif 
  
Semoga dengan maklumat yang dikongsi daripada Blog ini dapat di manfaatkan. terima kasih kepada pembekal maklumat.

11 July 2012

SENAMROBIK 1 MURID 1 SUKAN, 1 MALAYSIA: STAR ALOR SETAR 2012


Alor Setar, 10 Julai 2012. Program 1 Murid 1 Sukan telah menganjurkan senamrobik serentak 1 Malaysia. Acara yang bermula serentak di semua sekolah seluruh Malaysia turut meriah berlangsung di SMK Tunku Abdul Rahman, Alor Setar Kedah.

Hujan yang lebat pada pagi ini telah menyebabkan venue acara berubah ke Dewan Perdana. Walaupun dewan ini agak sempit, namun seluruh warga STAR tetap bersemangat untuk beraerobik. 933 pelajar telah mendaftar sebagai peserta, sekaligus menyumbang kepada jumlah besar seluruh Malaysia untuk mencatat rekod dalam Malaysia book of record sebagai senam robik yang terbesar diadakan di Malaysia. 
Guru lelaki yang bersemangat tinggi

Instruktor terdiri daripada guru-guru STAR





warga kerja senamrobik

Penolong Kanan Kokurikulum STAR , Azizan Abdul Kadir mengucapkan tahniah kepada seluruh warga STAR kerana menjayakan program ini. Kerjasama semua guru adalah sangat baik. Semoga program kecergasan seperti ini dapat diteruskan untuk kesihatan dan kecergasan semua orang.

06 July 2012

Beijing, Perjalanan Merentas Benua 2011










BEIJING; PERJALANAN MERENTASI MASA.

Sudah lama berkira-kira hendak meninjau sebuah Negara di timur yang sohor dengan pelbagai perkara. Namun kesempatan hanya hadir pada Disember 2011.  Dengan di temani puan isteri kami bergegas ke KLIA untuk terbang ke Beijing.

Bergabung dengan 25 orang rakan baru di KLIA, lantas mencipta kenalan baru. Penerbangan dengan Chatay Pasific dan bertukar penerbangan Dragon Air sebaik tiba di Hongkong.Perjalanan hampir 4 jam ke Hong Kong terasa amat lama, 33 000 kaki di angkasa mengundang gundah yang tidak terucap. Dengan tanah ibunda semakin jauh ditinggalkan. Walaupun kerusi empuk dan makanan lazat tersedia, gundah jiwa masih jua terasa.

Mendarat di Bejing, badan terasa agak letih, namun melihat kepada kemodenan lapangan terbang yang persis KLIA, sedikit mengubat lesu. Pemeriksan imigresen yang pantas dan mesra memadam tanggapan awal terhadap China.

Sebaik keluar dari Lapangan terbang, angin sejuk serta merta menerpa. Mana mungkin anak khatulistiwa ini menahan suhu 0 darjah celcius, mungkin terlalu lama menetap di Malaysia.Kemesraan pemandu pelancong China yang fasih berbahasa melayu Indonesia memudahkan komunikasi.Masa sudah hampir magrib ketika kami memasuki bandaraya Beijing.
Hadapan kedai makanan Islam Xinjiang
Semestinya perut yang kosong perlu diisi. Makanan  halal mudah didapati di sini. Menurut pemandu pelancong, ada lebih 400 restoran Islam yang diiktiraf ada di Beijing. Masakan cina memang telah biasa dengan rakyat Malaysia, jadi tiada masalah untuk makan.
Nasi goreng
Telur goreng adalah lauk yang mesti ada!!






sayur kundur
Selesai makan, kami ke pertunjukkan akrobatik. Satu tempat yang wajib dikunjungi oleh karajaan China jika anda mengikuti pakej lawatan seperti ini. Pertunjukkan yang menarik dan agak berbaloi.Satu cara kerajaan China mempromosikan kebudayaan mereka.Mungkin kerajaan Malaysia mempunyai langkah tertentu untuk mempromosikan kebudayaan kita kepada pelanconng.



Boleh dikatakan, Negara besar ini membesarkan semua perkara dan benda. Dari tembok besar ke istana besar, dataran besar, dan sesuai dengan jumlah penduduknya yang besar.Lawatan ke Istana Kota Larangan mengundang rasa kagum dengan seni bina dan saiz bangunannya. Segalanya besar. Pintu besar, tiang besar, halaman besar,  kawasannya juga amatlah besar, diceritakan bahawa Kota Istana ini mempunyai 9999 buah bilik!
Berlatar belakang pintu masuk ke Istana Larangan yang mempamerkan gambar besar pemimpin besar mereka.
Secara jujurnya saya kagum dengan seni bina istana yang berusia ribuan tahun ini, sebagaimana ia bertahan sekian lama begitulah jua keadaannya pada masa kini yang masih tegar menjadi ikon kebanggaan rakyat China. Mungkin ratusan tahun lagi, binaan besar di Malaysia juga akan dikagumi oleh warisan leluhur kita.


Di hadapan pintu masuk Istana Larangan, lihat ketinggian tembok.



Kawasan istana ini masih lagi mengekalkan keasliannya, terdapat taman di dalamnya yang ditanam dengan pohon cemara yang telahpun berusia ratusan tahun, tempat dimana gundik-gundik maharaja beristirahat. Kini menjadi tumpuan pelancong untuk mengalami sendiri pengalaman berada dalam suasana  yang berusia ratusan tahun.
Bahagian halaman dalam kota Larangan, luas.

Apa yang berlegar di minda saya adalah tentang betapa berkuasanya  maharaja pada ketika itu, dengan memiliki kompleks istana yang luas, dikelilingi oleh tembok dan parit pertahanan yang berlapis, siap dengan pengawal terlatih, malah dengan ribuan gundik! Menunjukkan betapa kuasa memunginkan segalanya di dunia ini. Tetapi pada hari ini, kuasa maharaja telahpun berakhir disini.  Ikibar kepada yang mahu memahami.

Perjalanan ke Negara ini tidak akan lengkap jika tidak menyertai ribuan pelancong lain menjejak Tembok Besar. Sebaik bas kami menghampiri kawasan tembok ini, sekali lagi rasa kagum menjelma. Apabila melihat kepada saiz binaan yang besar, memang besar.Nun di puncak bukit, tersergam tembok yang kukuh dan kemas buatannya. Pengalaman menjejak kaki kesini merupakan satu pengalaman yang unik dan  nostalgia.



Perhatkan betapa tingginya salah satu bukit yang menempatkan tembok besar.

Saya membayangkan betapa sukar tembok ini dibina, dengan segala kemahiran dan kepakaran rakyat telah digunakan. Menurut pemandu pelancong, kualiti pembinaan adalah sangat diambil berat oleh pemerintah pada masa itu dengan nyawa sebagai taruhan.

Bagimanakah teknologi dahulu kala dapat membinanya?

Pendakian ketahap ini memerlukan 30 minit. Tangga yang curam meyebabkan lutut terasa sakit. Namun digagahi juga mencapai ketinggian yang maksimum. Peluang meneroka keajaiban dunia ini tidak mudah dipersiakan.


Membeli  belah. 


Terdapat banyak pusat membeli belah di sini, terpulang kepada pemandu pelancong membawa anda kesana. Youshow market adalah antara destinasinya.Pelancong Malaysia memang sinonim dengan kehebatan berbel anja. Mereka sama sekali tidak melupakan saudara mara dan sahabat handai di ibu pertiwi. Antara barangan popular yang dibeli termasuklah rantai kunci, sutera, jam tangan, pakaian sejuk, dan tidak ketinggalan juga
makanan ringan.

keledek bakar jadi tumpuan
Penjaja jalanan sangat ramai, mereka akan menunggu di tangga bas hampir di setiap destinasi. Jualan pula berupa barangan cenderamata, sarung tangan, malah jam tiruan! Persis peniaga jalanan di Bandung! Barang mereka  pula murah dan berpatutan. Contohnya sarung tangan dijual pada harga 5 yuan! Bersamaan RM2.50 sahaja, jika di Malaysia harganya mencecah RM25.00! jadilah pembeli yang bijak. Suhu harian pada ketika ini adalah 0 darjah celcius, maka hampir semua ahli rombongan membeli sarungtangan! Sampai di tanah air boleh pula digunakan untuk membersih halaman rumah.


Satu perkara yang menarik apabila melewati kedai-kedai adalah mereka akan bertanya  Negara asal kita. Pada mulanya saya memberi jawapan yang jujur, Malaysia. Pantas sahaja mereka melayan dengan sangat baik. Semua harga istimewa akan diberi jika anda berminat untuk membeli. Tapi awas jika tak jadi beli .Seorang rakan menjawab beliau dari Indonesia, peliknya peniaga tadi tidak beria melayannya, dibiarkan sahaja rakan saya ini merayau.  Rupanya pelancong Malaysia lebih diminati peniaga disini. Kemahiran tawar menawar sangat berguna disini, harga boleh dirundings ehingga 75%!

Apabila kami singgah bersolat di masjid, ada juga penjaja jalanan yang berniaga di situ, mereka menjual cenderamata dan juga kuih muih.Penjaja ini kebanyakkannya beragama Islam, kuih yang popular adalah kuih kacang yang di adun bersama madu, kismis dan lain-lain.Sedap. Seronoknya peniaga berwajah arab ini berbahasa melayu, perkataan “mari rasa”’ , “halal”, “murah” begitu lancar dari lidah mereka. Betapa orang melayu ini begitu berpengaruh di sini. Bangga dengan bangsaku.


Bersama penjaja bangsa Ughyur, Islam. merasa keenakan kuih tradisional



Penjaja jalanan yang tidak jemu memujuk pelanggan.

 


Berjalan kaki adalah cara terpantas untuk ketempat-tempat bersebelahan, dari dataran Tiananmen kami berjalan kaki ke Forbidden City, dengan cuaca yang sejuk perjalanan terasa selesa. Kalau di Malaysia sudah pasti basah baju dek peluh.


Basikal di Beijing.
Saya terbaca sebelum ini bahawa kota Beijing adalah syurga basikal.  Apabila telah berada di sini, barulah saya faham bahawa pengangkutan yang sesuai untuk jarak dekat di sini adalah basikal. Kita boleh melihat kelibat penunggang basikal hampir di semua tempat. Dengan cuaca yang sejuk, penunggang basikal merasa selesa untuk berkayuh walaupun untuk jarak yang jauh. Ini adalah antara faktor mengapa rakyat Beijing berbasikal.

 Tetapi ada satu pembaharuan, hampirsemua basikal disini menggunakan enjin elektrik! Bukan hanya basikal, malah beca roda tiga juga berenjin letrik. Kebanyakkan penjaja menaiki beca elektrik ini untuk membawa barang jualan mereka. Terdapat pelbagai jenis basikal elektrik disini! mungkin tidak lama lagi fenomena ini dapat disaksikan di Malaysia, kos efektif.






Penutup
Tidak dapat dinafikan, ada banyak perkara yang dapat dipelajari di sini.Betul kata orang, jauh berjalan luas pengalaman.Ada banyak lagi catatan yang belum ditulis, sekadar berkongsi beberapa perkara menarik sahaja. Beijing kami tinggalkan dengan memori yang pelbagai warna, namun yang pastinya puan isteri cukup berpuas hati. Penerbangan pulang ke tanah air terasa sungguh perlahan, maklumlah sudah 7 hari nasi lemak, roti canai, teh tarik tidak menyapa tekak! Walaupun Beijing boleh dikagumi, manakan sama dengan Malaysia tercinta. Mendarat di KLIA, hati berbaur bangga. Malaysia.