23 November 2010

2 Guru SMK Tunku Abdul Rahman Bersara Serentak



Pada hari ini, SMKTAR telah kehilangan 2 orang guru yang bersara wajib. Satu majlis perpisahan dianjurkan untuk kedua-dua guru. Majlis yang berlangsung meriah ini bukan bermakna warga STAR gembira dengan perpisahan tetapi sebagai penghargaan di atas sumbang bakti selama bertugas sebagai guru.

Dua orang guru iaitu Cik Habsah bt Musa dan Cik Hajjah Esah bt Razak telah lama menabur bakti kepada nusa dan bangsa. pada hari ini kehilangan mereka amat dirasai oleh warga SMKTAR. Majlis perpisahan dimulakan dengan perhimpunan pagi. kedua guru diminta memberi ucapan akhir mereka kapada pelajar. Pihak majlis staf dan majlis perwakilan pelajar telah mengambil kesempatan untuk memberi cenderahati kepada kedua guru. walaupun hadiah yang tidak seberapa itu, namun yang tersiratnya adalah nilai kasih sayang yang tidak ternilai sebagai ingatan sepanjang hayat.

Dalam ucapannya, Tuan Pengetua Haji Jamil Ibrahim melahirkan rasa sedih dengan kehilangan 2 orang guru yang sangat berjasa kepada sekolah. Harapannya semoga cikgu Esah dan Cikgu Habsah dapat mengharungi hari-hari sebagai pesara dengan bahagia. Pintu STAR sentiasa terbuka kepada mereka untuk datang bertandang pada masa hadapan. Sesungguhnya jasa dan pengorbanan cikgu sangat banyak dan tidak mampu pihak sekolah membalasnya, namun sebagai ingatan pihak sekolah telah memberikan cenderahati sebagai kenang-kenangan.

selesai perhimpunan, cik Esah dan Cik Habsah telah di arak dengan menaiki kereta antik, diiringi paluan kompang dan bunga manggar. semua pelajar berbaris sepanjang jalan keluar sebagai menghormati dan memberi lambaian terakhir kepada guru yang di sayangi.


biodata:

Cikgu Cik Esah bt Razak

Memulakan kerjaya sebagai guru dengan mengikuti kursus perguruan di Maktab Perguruan Gaya, Sabah pada tahun 1974-1975. Semasa belajar di maktab perguruan, beliau seorang yang aktif dalam sukan. menjadi Olahragawati Kejohanan Olahraga Antara Maktab-Maktab Malysia pada tahun 1974. Beliau juga aktif dalam permainan bola jaring dan pernah menjadi jurulatih peringkat negeri.

Memulakan alam perguruan di SMJK Stella Maris, Tg Aru Kota kinabalu, Sabah pada thun 1976 hingga tahun 1981. selepas itu beliau bertukar ke semenanjung dan ditempatkan mengajar di SMJK Yuk Kwan Batu Gajah, Perak. Seterusnya mengajar di SMK Seri Intan Ipoh Perak pada 1982 hingga 1988. pada 1988- 1991 beliau mengajar di SMK Seri Putri, Sg Pari, Ipoh dan pada Disember 1991- 1994 di SMK Dr Burhanuddin, Taiping. Perak.

Pada Disember 1994 Beliau bertukar ke negeri Kedah dan mengajar di SMK Tajar, alor Setar sehingga 1998 sebelum berpindah untuk kali terakhir ke SMK Tunku Abdul Rahman sehinggalah beliau bersara wajib pada tahun 2010.

Berpengalaman selama 34 tahun sebagai pendidik memberi banyak pengalaman dan kegembiraan kepada beliau. Walaupun sayang beliau kepada bidang pendidikan tidak berbelah bagi, namun telah sampai juga masa untuk mengucapkan selamat tinggal. Semua pengalaman pahit manis sebagi guru kekal sebagai ingatan di hari muka. Bercerita dengan cikgu Esah membuat kita rasa terhibur dengan celotehnya yang selamba dan jujur.

Cikgu Esah berharap generasi pelajar pada hari ini bersyukur dengan kemudahan pembelajaran yang ada dan belajar dengan rajin demi masa depan yang cemerlang. Kepada rakan seperjuangan, pikullah amanah bangsa dengan penuh rasa tanggungjawab demi agama, bangsa dan negara, dan pada kesempatan ini cikgu Esah menyusun sepuluh jari memohon kemaafan daripada seluruh pelajarnya selama 34 tahun dan juga rakan taulan atas segala kesalahan dan terlanjur kata. sesungguhnya manusia itu serba kekurangan dan bersifat baharu, kata cikgu Esah mengakhiri perbualan.





Cikgu Cik Habsah Bt Musa

Dilahirkan pada 27.12.1954, Cikgu Habsah mengakhiri kerjayanya pada tahun 2010 ketika berumur 56 tahun. Beliau memilih untuk tidak menyambung perkhidmatannya sehingga umur 58 tahun. beliau berasal dari Jasin, Melaka. Apabila ditanya mengapa memilih negeri Kedah sebagai tempat terakhirnya bekerja, Cikgu Habsah menyatakan, suasana negeri Kedah ini sesuai dengan jiwanya.

Memasuki Maktab Pergurauan Temenggung Ibrahim, Johor Bahru pada 1976 hingga 1977 dalam jurusan sains paduan dan kemahiran hidup. Seterusnya beliau ditugaskan mengajar ke Terengganu iaitu di SMKA Sultan Zainal Abidin, Batu Buruk. selepas itu bertukar ke SMK Batu Buruk selama 2 tahun dan berpindah ke SMK simpang Bekoh, Asahan, Jasin, Melaka pada tahun 1983.

Enam tahun kemudian, beliau berpindah ke SMK Langgar, Alor Setar (4 Tahun) bertugas di SMK Mahsuri Langkawi, (4 Tahun) dan SMK Tunku Putra, Padang Matsirat Langkawi dari tahun 1996 hingga 2002. Selepas 11 tahun di Pulau Langkawi, Cikgu Habsah bertukar pula ke SMK Aman Jaya, Sg Lalang, sungai Petani Kedah (1 Tahun) ke SMK Tanjung Pauh, Jitra (1 tahun) ke SMK Bandar Baru Darulaman, Jitra (4 Tahun) dan pada Januari 2009 beliau bertukar untuk kali terakhir ke SMK Tunku Abdul Rahman, Alor Setar, Sehingga bersara.

Berkhidmat selama 33 tahun sebagai pendidik telah memberi kepuasan kepada beliau, guru kemahiran hidup ini amat disenangi oleh pelajar dan rakan. Seorang yang mudah didekati dan berkongsi cerita, cikgu Habsah meninggalkan kenangan yang unik kepada pelajar-pelajarnya.

Menceritakan pengalamannya bertugas di banyak buah sekolah, cikgu Habsah menyimpulkan bahawa, walau dimana saja beliau berada komitmen kepada pelajar dan tanggungjawab mesti dipikul dengan sepenuh hati, tanpa membezakan pelajar, latar belakang, bangsa dan agama. Pelajar sememangnya amat memerlukan tunjuk ajar daripada guru. Namun beliau juga berpesan kepada pelajar, walau sehebat manapun guru yang mengajar, tetapi pelajar tidak belajar dengan bersungguh-sungguh, sukarlah pelajar itu untuk berjaye.

Sebagai penutup bicara, Cikgu Habsah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pelajarnya dan juga rakan-rakan kerana memberinya kegembiraan sepanjang bergelar guru. Beliau juga memohon ampun dan maaf atas semua kesalahan dan kesilapan. Beliau bercadang kembali menetap di kampung halamannya di Jasin, Melaka.

penutup

bagi pihak semua, staf dan pelajar, saya mengucapkan selamat bersara kepada Cikgu Habsah dan Cikgu Esah, Jasa bakti kalian dalam mendidik anak bangsa, hanya ALLAH jua yang membalasnya,

PEMAIN BOLA SEPAK KEDAH TABUR JASA DI STAR ALOR SETAR


Wan Rainbow, 3 dari kanan bersama guru dan pemain STAR FC



Pasukan STAR FC berpeluang menerima tunjuk ajar daripada seorang pemain bola sepak Kedah iaitu wan Mohd Asyraf yang telah mewakili pasukan Kedah dalam kempen Piala Malaysia baru-baru ini, sekarang beliau mewakili Kedah dalam kempen Piala Emas Raja-Raja.

Wan Mohd Asyraf bukanlah asing kepada STAR FC kerana beliau merupakan bekas pelajar STAR Alor Setar dan pernah bermain untuk pasukan STAR FC. Di kalangan guru dan rakan beliau lebih dikenali sebagai "Wan Rainbow". panggilan mesra kepada beliau.

Penganjuran Klinik Bola Sepak ini adalah bertujuan menyiapkan pasukan STAR FC untuk kejohanan pada tahun hadapan. Dengan kedatangan Wan Rainbow ke padang SMKTAR, ia telah menyuntik semangat pelajar SMKTAR untuk berlatih dengan lebih gigih lagi. Sepanjang klinik berlangsung, semua pemain telah menunjukkan komitmen yang tinggi. Setiausaha Sukan SMKTAR, En Mohd Rizal berkata, pemain menjadi teruja dapat bersemuka dengan pemain yang telah berjaya mengharumkan nama negeri Kedah dan beliau berharap kejayaan Wan Rainbow akan menjadi pendorong kepada semua pemain STAR FC untuk berjaya dalam permainan bola sepak.