21 April 2012

PESTA BOLA SEPAK 7 SEBELAH STAR ALOR SETAR MERIAH.

 Alor Setar, 21 April 2012. STAR Alor Setar dan Persatuan Alumni Star telah berkerjasama menganjurkan pertandingan bolasepak 7 sebelah dengan gabungan pasukan terdiri daripada pelajar dan belas pelajar dalam setiap pasukan.

Sebanyak 14 pasukan telah mengambil bahagian dalam perlawanan ini. Presiden Persatuan Alumni STAR, Dato Mansur b Hj Ismail telah hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang. Penganjuran pertandingan ini juga adalah usaha sama antara Dato presiden alumni dan unit sukan STAR. Dalam ucapannya, Dato Mansur berharap pasukan bolasepak STAR sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti permainan dan menjulang nama baik pasukan STAR. Sehubungan itu beliau akan menganjurkan perlawanan persahabatan antarabangsa dengan satu pasukan sekolah dari Thailand pada bulan Mei nanti.

Setiausaha sukan STAR, En Mohd Rizal b Abd Rahman bersyukur kerana pesta bola sepak ini dapat berjalan dengan baik, malah keadaan cuaca juga baik untuk perlawanan. Tahniah diucapkan kepada ajk kejohanan, En Mohd Fauzi, En Mohd Ridwan, dan En Musa atas komitmen yang tinggi dalam menjayakan pesta bola sepak ini.

Johan memerima medal dan wang tunai RM150.00, pasukan mempunyai jersi terbaik menerima RM50.00, Fair play juga menerima hadiah RM50.00. Hadiah disumbangkan oleh Dato Mansur selaku presiden Alumni STAR.
Pasukan Mexico ,Johan  bersama Dato Mansur dan En Azizan

13 April 2012

MAJLIS PERSARAAN PENGETUA STAR, HJ JAMIL B. IBRAHIM



Alor Setar, 12 April 2012, SMK Tunku Abdul Rahman meraikan persaraan pengetua, Hj Jmail Ibrahim yang telah sampai umur bersara wajib pada usia 58 tahun. Persaraan beliau merupakan saat yang sangat mengharukan bagi seluruh warga STAR Alor Setar.


Melangkah keluar pejabat pengetua untuk kali terakhir.


Sempena dengan persaraan pengetua, pihak sekolah dengan kerjasama PIBG telah mengadakan satu majlis yang dihadiri oleh semua pengetua sekolah daerah Kota Setar, PPD dan JPN Kedah. Seramai 500 orang jemputan telah hadir termasuk daripada ibu bapa dan waris pelajar. Jamuan sempena persaraan ini dimasak secara gotong royong bersama PIBG. Seekor lembu dan 120 ekor ayam telah menjadi menu hidangan 2000 orang tetamu pada hari ini.

Dilahirkan pada 13 April 1954 di Hospital Alor Setar, menetap di Tongkang Yard bersama keluarga bapanya. Kerjaya Cikgu Jamil bermula di SMK Mahang, Kulim pada 15 Januari 1978. Seterusnya menjadi pensyarah di Institut perguruan Sultan Idris, Tanjong Malim, berpindah ke Institut Perguruan Darul Aman, Jitra dan selepas itu kembali mengajar di sekolah, antaranya SMK Al Buhary, Alor Setar, SMK Merbok, dan menjawat jawatan Timbalan Pengawai Pelajaran Daerah Kota Setar. Seterusnya menjadi Pengetua di SMK Seri Ampang, Jalan Kuala Kedah dan yang terakhir menjadi Pengetua STAR sehingga bersara. Lulusan Universiti Malaya ini bersara pada gred DG54 sebagai Pengetua Cemerlang.

Demikian serba sedikit sejarah profesion Hj Jamil yang penuh dengan kecemerlangan. Walaupun sudah menamatkan profesian perguruan dengan cemerlang, hj Jamil masih aktif dengan aktiviti kemasyarakatan, antaranya beliau merupakan Pengerusi Rukun Tetangga kawasan Tambak Bunga, Presiden Persatuan Kecergasan Kedah, AJK Masjid dan beberapa lagi jawatan penting dalam masyarakat. Menghargai jasa-jasanya beliau telah dianugerahkan pingat PJK (Pingat Jasa Kebaktian), BKM (Bintang Kebaktian Masyarakat) dan A.M.K dari DYMM Sultan Kedah.

Dalam ucapan terakhir beliau menyeru seluruh warga STAR agar terus memajukan diri dan memastikan masa hadapan dapat ditempuh dengan bekalan yang mencukupi dan terjamin. Yang Di Pertua PIBG, En Fuad b Md Lazim berkata, kehilangan Hj Jamil adalah kehilangan yang besar kepada STAR, beliau mudah untuk dibawa berbincang disamping sentiasa sedia membantu walau apa jua keadaan.

"Unit Sukan Sangat Terharu"

Haji Jamil ibarat mentor kepada kami, - En Mohd Rizal b Abd Rahman menyatakan demikian sebagai mengulas persaraan Hj Jamil.
Cikgu Rizal memeluk Hj Jamil dengan penuh terharu.
Hadiah set alatan memancing daripada unit sukan.

Bersama pasukan Ragbi Ex Starian yang turut hadir memberi penghormatan.


Selesai acara protokol persaraan, Hj Jamil bersalaman dengan seluruh warga STAR yang berbaris sepanjang laluan STAR, beliau memeluk setiap guru lelaki dan jelas kesayuan terpancar diwajahnya, saat sedih ini pasti terakam kukuh dalam ingatan semua warga STAR dan Hj Jamil sendiri. Ramai yang gagal menahan air mata.

Istimewanya, Hj Jamil diarak dengan kereta tanpa bumbung sambil beliau melambai kepada semua yang hadir, tambah meriah lagi, sekumpulan motosikal berkuasa tinggi telah mengiringi perjalanan Hj Jamil hingga ke rumahnya di Teluk Cengai.

2 penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi bersedia untuk mengiringi konvoi persaraan.




Karikatur Hj Jamil yang dihasilkan oleh cg Shareh.

Bahtera, hadiah daripada YDP PIBG

Pada hari ini, warga pendidikan kehilangan seorang guru berwibawa. Kehilangan yang sukar diganti. Namun , setiap perjalanan ada penamatnya. HJ Jamil sudah sampai ke penghujung jalan. Muatannya sarat dengan pengalaman, hatinya penuh dengan kepuasan, mindanya berbunga dengan ilmu pengetahuan yang sangat berharga. bakal tersimpan kemas dalam lipatan pengalaman sebagai kenangan yang mengundang senyum tatkala hari-hari sepi mengunjung tiba.

TABIK KEPADA CIKGU JAMIL

12 April 2012

GOTONG ROYONG MENGADAKAN KENDURI, PIBG DAN GURU STAR BERSATU HATI


En Fuad, YDP PIBG turut serta memotong daging.

Alor Setar, 11 April 2012. Sempena persaraan pengetua Jamil Ibrahim, pihak pibg dan guru telah bersepakat mengadakan kenduri secara gotong royong. Jamuan kenduri akan diadakan pada 12 April. Pada hari ini kerja-kerja menyediakan lauk telah bermula. Gotong royong ini di hadiri oleh 30 orang waris dan 50 orang guru yang secara teknikalnya bertugas menyediakan hidangan.

Menurut YDP PIBG STAR, En Fuad b Lazim, kerja-kerja memotong daging dilakukan lebih awal sebagai persediaan kenduri esok. Lebih membanggakan, ramai waris yang hadir membantu walaupun panggilan untuk membantu ini adalah secara panggilan mulut sahaja. Ini menunjukkan kerjasama waris di SMKTAR adalah erat dan bersatu padu. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.

Dua jenis lauk yang dimasak ialah gulai daging lembu dan ayam goreng madu. Ternyata dengan kerjasama erat antara pihak sekolah dan PIBG memudahkan urusan memasak ini dijalankan. menurut guru STAR, En Mohd Rizal b. Abd Rahman, seekor lembu disembelih untuk tujuan ini dan 120 ekor ayam juga disediakan untuk jamuan kenduri ini. Kerjasama secara gotong royong ini amat baik kerana dapat menjimatkan kos dan mengeratkan hubungan antara guru dan waris.



Sebahagian waris yang hadir membantu

Waris wanita juga tidak ketinggalan menghulurkan bantuan.

08 April 2012

MENJELANG PERSARAAN CIKGU JAMIL

Masa sungguh pantas berlalu, sudah 4 tahun Hj Jamil mengetuai SMKTAR. Namun terasa seperti sungguh baru beliau bersama warga STAR. Banyak lagi perancangan yang belum tertunai, banyak juga harapan belum tercapai, dan banyak sungguh impian yang belum terlaksana.

Namun jasa beliau sudah tidak terhitung oleh jemari saya, sudah penuh catatan kebanggaan yang dilakar oleh Hj Jamil, banyak sungguh. Merubah suasana budaya STAR, memacu STAR kearah kejayaan sepanjang 4 tahun seakan tidak puas. Keringat yang beliau curahkan terlalu banyak, padat dengan ilmu dan pengalaman, sarat dengan kematangan dan kecerdikan, licik memain perasaan, serta tegar menghadapi cabaran.

Walau sedalam mana tulisan ini cuba mengangkat jasa HJ Jamil, ia masih tidak mampu mengungkapkan segalanya yang ternyata sempurna, bersih, dan berwibawa. Beliau istiqamah memajukan STAR, beriltizam tinggi untuk memastikan nama STAR dijulang tinggi.
Saya amat teruja untuk bersama HJ Jamil membaca surah Yassin pada setiap bulan, mendengar terjemahan doa Yassin yang menyentuh kalbu, menggegar iman di dada, terasa begitu kecil diri ini disisiNYA. Alunan suara seorang pengetua membimbing bacaan yassin seluruh warga STAR selama 4 tahun. Sungguh...tidak jemu. mungkin rindu bertandang selepas ini. Menyuntik semangat ingin berbakti kepada agama, bangsa dan negara. secara diam menjadi idola dan impian untuk mencontohinya.

Saya akan menulis lagi hal biodata HJ Jamil dalam "post" yang akan datang, catatan ini adalah sekadar secebis kisah HJ Jamil dari sudut pandangan saya.

Sambungan.....

Kelibat Hj Jamil mengimbau kepada mahaguru yang pernah saya kagumi. mungkin Dato Razali Ismail, Mantan Timbalan Menteri Pelajaran tidak asing untuk pembaca semua, Beliau merupakan pensyarah yang pernah mengajar saya semasa saya baru menapak dalam profesyen ini. Dato Razali adalah insan yang benar-benar menjadikan saya seorang guru, yang penuh azam dan tekad untuk berkhidmat kepada masyarakat. Bersama beliau saya menanam azam untuk menjadi terbaik. Saya tidak menyangka pelajaran di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu begitu mengesankan. Di sana saya belajar makna guru.

Saya terpegun dengan daya kepimpinan HJ Jamil, kalau saya gambarkan gayanya adalah seperti silat....silat bunga. Dalam setiap tarinya ada bunga, dalam bunganya ada buah, dalam buahnya ada isi, dalam isinya pula ada rasa. sempurna. Adakalanya soalan dijawab soalan, adakalanya jawapan diberi soalan dipinta!!!, membuat akal saya ligat mencari makna. APA? saya teringat satu pepatah, "berkilat ikan di air sudah ku tahu jantan, betina." mungkin inilah yang ada dalam minda HJ Jamil. Saya mencuba membaca beberapa buku kepimpinan, namun ilmu itu tidak dapat saya fahami tanpa adanya pengalaman sebagai hamparan untuk mencapai makna.

Namun saya akur, setiap perjalanan ada penamatnya. HJ Jamil sudah sampai ke penghujung jalan. Muatannya sarat dengan pengalaman, hatinya penuh dengan kepuasan, mindanya berbunga dengan ilmu pengetahuan yang sangat berharga. bakal tersimpan kemas dalam lipatan pengalaman sebagai kenangan yang mengundang senyum tatkala hari-hari sepi mengunjung tiba.

Saya belum puas memintal cerita, namun masa agak mencemburui saya. catatan akan saya sudahkan apabila luang menjelma. Tabik kepada HJ JAMIL

01 April 2012

SAMBUTAN HARI STAR 2012

Sambutan Hari STAR 2012 akan diadakan seperti ketetapan berikut:

Tarikh: 4 April 2012
Hari: Rabu
Masa: 8.00 pagi - 3.00 petang
Tempat: Dataran Putra


Acara yang disediakan:

1. Gerai jualan makanan
2.Gerai jualan cenderahati
3.Persembahan pentas.
4.Cabutan bertuah.
5. Futsal
6. Paint Ball
7. Pameran oleh PERHILITAN
8. Pameran oleh jabatan kerajaan.

Semua dijemput hadir menjayakannya. Terbuka untuk semua orang awam

LOGO SAMBUTAN JUBLI EMAS SMKTAR 1962-2012