25 January 2010

MERENTAS DESA SMK TUNKU ABDUL RAHMAN, ALOR SETAR 2010



Alor Setar, 23 Januari 2010. Smk Tunku Abdul Rahman, Alor Setar telah mengadakan Kejohanan Merentas Desa Tahunan bagi siri ke 37. Kejohanan kali ini diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti, Alor Setar.

Seramai 1700 peserta telah mengambil bahagian. Pelajar telah dibahagikan kepada 6 kategori iaitu, Lelaki kelas 1,2,dan 3. Perempuan juga dibahagikan dengan cara yang sama. Laluan pada kali ini adalah menyusuri sepanjang kampung Suka Menanti sehingga ke Pantai Johor. Trek ini adalah sepanjang 8 kilometer untuk pelajar lelaki, dan 6 kilometer untuk pelajar perempuan.

Disamping mengambil bahagian dalam acara ini, pelajar juga berpeluang merasai suasana kampung dan juga beramah mesra dengan komuniti di sepanjang laluan ini. Sambutan yang baik juga diterima daripada penduduk kampung. Kampung Suka Menanti yang terletak bersebelahan dengan Sungai Kedah turut menyajikan pemandangan yang menarik.

Pengetua SMK Tunku Abdul Rahman, Hj Jamil Ibrahim menyatakan kegembiraan beliau kerana acara pada hari ini berjalan lancar dan kehadiran pelajar juga amat-amat menggalakkan di samping kerjasama yang erat dikalangan warga STAR telah menjayakan acara pada tahun ini. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa pengelola iaitu unit sukan STAR kerana kejayaan penganjuran pada tahun ini.

Menurut setiausaha sukan STAR, En Mohd Rizal b. Abd Rahman, kejohanan pada tahun ini adalah meneruskan kecemerlangan dalam sejarah penganjurannya selama 37 tahun. Di samping itu, sekolah ini juga bakal menyambut jubli emasnya tidak lama lagi. Oleh itu penganjuran acara yang besar seperti ini akan mengangkat imej STAR sebagai sekolah yang ternama di daerah Kota Setar.

Bagi pihak pengurusan ko kurikulum STAR, En Jamal b. Ishak, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan kejohanan Merentas Desa pada tahun ini. antaranya ialah Polis Diraja Malaysia, Perbadanan Stadium Darul aman, Penduduk Kampung Suka Menanti dan juga para waris serta orang awam.

16 January 2010

KURSUS KEPEGAWAIAN DAN KEJURULATIHAN OLAHRAGA SMKTAR 2010







Alor Setar, 9 Januari 2010. Warga Guru SMKTAR berkumpul untuk mengikuti Kursus Kepegawaian dan Kejurulatihan Olahraga. Kursus yang dianjurkan oleh Unit Sukan STAR ini bertujuan memberi input dan pengetahuan sebagai jurulatih dan pegawai olahraga kepada semua guru dalam persediaan unit sukan untuk menganjurkan Sukan Tahunan SMKTAR pada 11 Februari nanti.
Semua guru dibahagikan kepada 5 kumpulan iaitu mengikut warna rumah sukan masing-masing. Merah, Kuning, Hijau, Biru, dan Ungu. Selepas acara memanaskan badan, peserta bergerak ke Stesen masing-masing yang terdiri daripada komponen acara 100M, Lompat Jauh, Lontar Peluru, Rejam Lembing, dan Lompat Tinggi.Di Setiap stesen, guru-guru didedahkan dengan undang-undang dan teknik latihan acara tersebut.
Jurulatih yang bertugas pada hari ini adalah terdiri daripada kalangan ahli Unit sukan, iaitu Encik Mohd Ali Abd Rahman mengajar acara 100m, encik Mohd Rizal mengajar acara Lompat Jauh, En Mohd Ridzuan acara lontar peluru, rejam lembing En mohd Fauzi dan stesen terakhir lompat tinggi oleh en Musa.
Selesai acara di padang, peserta bergerak ke dewan kuliah untuk sesi taklimat mengenai kepegawaian yang disampaikan oleh En Mohd Ali. Selepas mengikuti kursus ini, guru-guru dapat mengetahui dengan lebih jelas tentang aspek kepegawaian dan kejurulatihan.
Menurut tuan pengetua, Tn Hj Jamil Ibrahim, program seumpama ini amat berguna dalam melahirkan barisan jurulatih yang berwibawa dan berpengetahuan luas yang akan menjadi aset sekolah dalam melahirkan pelajar yang berjaya dalam bidang ko kurikulum dan juga kurikulum.

GURU-GURU SMK TUNKU ABDUL RAHMAN, ALOR SETAR BERAEROBIC




Alor Setar, 9 Januari 2010. Seluruh Warga Kerja SMKTAR berkumpul di Dataran Putra pada awal pagi untuk mengikuti senam robik. Acara bermula pada pukul 8.00 pagi dengan disertai oleh 120 orang guru.
Senaman ini bertujuan untuk menambahkan kecerdasan guru-guru dalam persediaan menghadapi kejohanan olahraga tahunan SMKTAR pada 11 Februari nanti. Secara keseluruhannya, semua guru begitu bersemangat dan ceria. Rata-rata memberikan komen yang baik tentang aktiviti ini. Di samping dapat menyihatkan badan, acara ini juga dapat mengeratkan silatulrahim sesama rakan sekerja. Tahniah kepada seluruh warga SMKTAR.