22 December 2010

Yuran Persekolahan 2011, Satu Penjelasan


Isu ini dibangkitkan awal agar semua pelajar dan ibu bapa faham kedudukan sebenar apakah yuran yang harus dijelaskan apabila sesi baru persekolahan bermula, memandangkan musim cuti pun semakin hampir ke penghujung.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, baru-baru ini supaya pengurusan sekolah tidak mengenakan bayaran tambahan yang tinggi apabila sesi persekolahan tahun depan bermula, pastinya melegakan ramai ibu bapa, terutama mereka yang berpendapatan rendah.

Sebarang bayaran tambahan yang ingin dikenakan perlu berdasarkan surat pekeliling yang antaranya menyebut pihak sekolah perlu mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), selain kelulusan Jabatan Pelajaran Negeri (Pendaftar Sekolah).
Isu Bayaran Tambahan dan Sumbangan Kepada PIBG sering menjadi rungutan di kalangan ibu bapa. Ini berlaku apabila ada sesetengah ibu bapa tidak dapat membezakan antara kedua jenis bayaran itu. Malah sesetengahnya hairan mengapa sekolah masih mengenakan bayaran sedangkan sebelum ini kerajaan mengumumkan bayaran yuran dimansuhkan.

Masih ramai ibu bapa bukan saja tidak dapat membezakan antara ketiga-tiga bayaran itu tetapi pada masa sama mempersoalkan mengapa wujud perbezaan dari segi kadar Sumbangan Kepada PIBG antara satu sekolah dengan sekolah lain. Contohnya kadar diputuskan pada mesyuarat PIBG sebuah sekolah di Subang Jaya dengan sekolah di pedalaman Johor.

Oleh itu, pihak sekolah dan PIBG perlu membantu Kementerian Pelajaran dalam memberi penerangan kepada pelajar dan ibu bapa berhubung perkara ini, termasuk memberitahu perbezaan antara Yuran Khas, Bayaran Tambahan dan Sumbangan PIBG dan pada masa sama mematuhi ingatan serta arahan Menteri Pelajaran supaya memikirkan keupayaan ibu bapa sebelum mencadangkan kadar bayaran yang akan dikenakan di sekolah masing-masing.
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 14/2010 bertarikh 27 Oktober 2010 yang perlu dibaca bersama Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 5/2009 bertarikh 26 Oktober 2009: Bayaran-Bayaran Tambahan Persekolahan menyatakan bahawa, Yuran Khas di semua Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan telah dimansuhkan berkuat kuasa 1 Januari 2008.

Yuran Khas ini ialah yuran yang dibayar setiap ibu bapa sebanyak RM4.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM9 bagi setiap murid sekolah menengah kepada sekolah setiap tahun. Arahan ini telah dikuatkuasakan oleh semua sekolah.

Namun demikian, sekolah sebagai institusi pendidikan perlu merencana dan melaksanakan beberapa aktiviti penting serta menyediakan beberapa perkhidmatan dan kemudahan tambahan kepada murid.

Pelaksanaan perkhidmatan dan kemudahan tambahan ini memerlukan peruntukan tambahan secara khusus. Justeru, ibu bapa juga mempunyai peranan untuk turut bersama melaksanakan tanggungjawab membantu sekolah melaksanakan aktiviti tambahan bagi murid dengan membayar bayaran tambahan lain sebagai tanda komitmen terhadap pendidikan anak mereka.

Di bawah adalah perkara yang dianggap sebagai perkhidmatan dan kemudahan yang boleh dikenakan bayaran tambahan secara tahunan kepada ibu bapa yang mana bayaran tambahan ini perlu dijelaskan ibu bapa setiap sesi awal persekolahan.

Kecuali bayaran bagi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan Insurans Takaful, Bayaran Tambahan di bawah adalah kadar minimum memandangkan sekolah di seluruh negara mempunyai latar belakang berbeza. Oleh itu, pihak sekolah perlu terlebih dulu berbincang bagi mendapat persetujuan PIBG sekolah dalam penentuan kadar Bayaran Tambahan berkenaan.

Bagaimanapun seperti ingatan Menteri Pelajaran, pihak sekolah perlu terlebih dulu berbincang bagi mendapatkan persetujuan daripada PIBG dalam menentukan kadar Bayaran Tambahan dan persetujuan itu boleh diperoleh sama ada melalui Mesyuarat Agung PIBG atau Mesyuarat Jawatankuasa PIBG.

Pihak sekolah juga perlu memastikan sebarang bayaran tambahan yang dikenakan adalah semata-mata berkisarkan kepada perkhidmatan yang diberikan kepada murid sekolah. Sekiranya pihak sekolah bercadang membuat kutipan bayaran lain, pihak sekolah perlu terlebih dulu mendapatkan kebenaran dan kelulusan Pendaftar Sekolah.

Mengenai Sumbangan Kepada PIBG sekolah pula, Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998 perkara 5 (4) – Tujuan dan batas persatuan menyebut “...Persatuan dibenarkan mengutip apa-apa sumbangan diputuskan pada Mesyuarat Agung tahunan daripada anggota dan keputusan itu hendaklah dimaklumkan kepada Pendaftar Sekolah...”.

Selain itu, perlu diingat bahawa kadar sumbangan yang ditetapkan pada Mesyuarat Agung hanya dikenakan ke atas setiap keluarga tanpa mengira bilangan anak dan bukan dikenakan ke atas setiap murid.

Bagaimanapun, ibu bapa boleh membuat permohonan pengecualian kepada pihak sekolah jika tidak mampu membuat Bayaran Tambahan atau memberi Sumbangan Kepada PIBG. Murid boleh mendapat bantuan menerusi beberapa program bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

*****Penulis ialah Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pelajaran****

***** dipetik daripada berita harian*******

No comments:

Post a Comment