23 February 2011

Merentas Desa Membantu Promosi Gaya Hidup Sihat





Alor Setar. 19 Februari 2011. SMK Tunku Abdul Rahman (STAR) telah mengadakan Larian Merentas Desa edisi ke 38. Larian pada kali ini disertai oleh semua warga STAR seramai 1760 orang yang mewakili 5 buah rumah sukan.

Meneruskan tradisi mendekati masyarakat, STAR telah memilih lokasi baru trek pada tahun ini. Untuk pertama kalinya, laluan merentas desa melalui Kampung Batin, Kampung Darat, Kampong Tanjung Lumpur, Kampung Kubang Brangas dan Kampung Hutan Betut. Nama-nama kampung ini adalah di luar pengetahuan pelajar STAR dan Masyarakat setempat kerana era permodenan yang melanda kawasan-kawasan ini telah menukarkan nama kawasan ini kepada taman-taman perumahan dan perindustrian. Kampung-kampung yang tersebut di atas adalah terletak di kawasan perindustrian Mergong, meliputi kawasan Tesco, Taman Mergong Jaya dan sekitarnya.

Secara tidak langsung pelajar dapat mengenali nama-nama kampung terdekat dengan sekolah dan seterusnya mendekatkan pelajar dengan komuniti setempat. Kawasan ini juga merupakan kampung halaman kira kira 15 peratus pelajar STAR. Masayarakat setempat juga diajak untuk turut serta dalama acara ini, rata-ratanya merasa gembira dengan penganjuran larian di dalam kampung mereka kerana inilah julung kalinya, acara ini diadakan di sini.




Kampung-kampung ini juga menyajikan pemandangan yang indah. Pelajar berlari disepanjang tali air dan sawah padi. udara yang segar dan keadaan berangin telah memberikan keselesaan kepada semua peserta larian.

YDP PIBG STAR, EN Ahmad Dahaman yang turut serta sebagai pelepas dan peronda keselamatan turut melahirkan rasa gembira dengan penganjuran merentas desa pada tahun ini. Menurut beliau, dengan cara ini, para waris dapat melihat dengan lebih dekat komitmen guru-guru STAR yang bertungkus lumus mengendalikan acara. Para waris juga dapat beramah mesra dengan seluruh warga kerja STAR pada hari ini, sesungguhnya acara ini telah mendekatkan hubungan silatulrahim antara pihak sekolah dan masyarakat.

Menurut pengetua STAR, Hj Jamil Ibrahim. Idea untuk mendekati masyarakat melalui acara sukan ini dapat diterjemahkan dengan lebih berkesan apabila pihak sekolah yang mengambil langkah proaktif iaitu menganjurkan larian merentas desa di dalam kampung. Dengan cara ini masyarakat dapat melihat dengan lebih dekat budaya kerja yang dimiliki oleh warga STAR, ia juga memberi ruang untuk masyarakat mengenali warga kerja STAR dengan lebih mesra dan santai. Dalam pada itu, beliau juga bersyukur kerana acara ini dapat dijalankan dengan jaya tanpa adanya kejadian yang tidak diingini, sambil turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga STAR.

Bagi pihak penganjur Larian Merentas Desa STAR 2011, Setiausaha Sukan En Mohd Rizal melahirkan rasa gembira dan bersyukur kerana dapat melaksanakan acara dengan berjaya. Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga STAR yang memberi komitmen yang tinggi sepanjang acara. Objektif larian ini adalah untuk kecergasan dan silatulrahim dapat dicapai dengan usaha berpasukan seluruh warga STAR. Majulah Sukan Untuk Negara.

12 February 2011

PERHIMPUNAN BULANAN UNIT BERUNIFORM STAR 2011




Guru-guru yang beruniform


Alor Setar, 20 Januari 2011, STAR telah mengadakan perhimpunan bulanan unit beruniform yang pertama pada tahun ini. Perhimpunan bermula pada pukul 7.40 pagi dan berakhir pada 8.20 pagi.

Semua pelajar dan guru STAR memakai uniform masing-masing. perhimpunan rasmi ini dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku, lagu sekolah dan lagu negeri Kedah.

Menurut pengetua STAR, Hj Jamil Ibrahim, perhimpunan unit beruniform dapat memupuk disiplin dikalangan pelajar. Justeru melahirkan pelajar yang berwibawa dalam semua bidang kurikulum dan kokurikulum. Beliau turut berpuashati dengan penglibatan semua guru yang turut menjayakan perhimpunan ini dengan memakai uniform. Beliau berharap kejayaan penganjuran perhimpunan vegini akan berterusan sehingga akhir tahun, sekaligus memberi impak kepada pembentukan sahsiah pelajar.

ucapan daripada Pengerusi Kadet Remaja Sekolah, Sarjan Mejar Mohd Azam

Perhimpunan bulanan unit beruniform diadakan selaras dengan arahan Jabatan Pelajaran negeri supaya setiap sekolah menganjurkannya. Perhimpunan ini mestilah diuruskan sepenuhnya oleh pelajar. tujuannya supaya pelajar mempunyai pengalaman dan keyakinan dalam menguruskan acara-acara di sekolah. Ia juga memupuk keyakinan diri, disiplin, dan dedikasi dalam diri pelajar.

Semua unit beruniform sekolah mengambil bahagian dengan bersungguh-sungguh dan rata-rata pelajar berbagga dengan unit beruniform masing-masing.

MAJLIS BACAAN YASSIN KUKUHKAN ILTIZAM WARGA STAR


Alor Setar, 6 Februari 2011. Pihak sekolah telah mengadakan majlis bacaan yassin secara beramai-ramai pada setiap bulan. Majlis ini telah dimulakan 2 tahun yang lalu dan mendapat kerjasama penuh seluruh warga STAR.

Dalam majlis ini, pengetua STAR, Hj Jamil Ibrahim sendiri mengetuai bacaan yassin sejak mula lagi.Menurut beliau majlis ini melibatkan semua pelajar dan guru beragama islam yang diadakan pada hari Ahad. dengan adanya majlis begini diharapkan dapat melahirkan warga yang beriman, berdisiplin dan bertakwa. Secara tidak langsung ia menguatkan iltizam dan azam seluruh warga star untuk berjaya. Disamping menguasai ilmu dunia, pelajar juga mesti mendalami ilmu akhirat serta mendapat berkat dalam kehidupan.

Usai bacaan yassin, pelajar dan guru mendengar tazkirah daripada Hj Jamil dan Ustaz yang bertugas. Tazkirah yang disampaikan berkisar tentang amalan beragama dan kaitannya dengan kehidupan semasa.

Pelajar bukan beragama islam pula menjalankan majlis motivasi yang dikendalikan oleh kaunselor sekolah. Dengan cara ini semua warga STAR tanpa mengira agama dapat memperkuatkan jiwa mereka dengan aktiviti yang dirancangkan.