08 April 2012

MENJELANG PERSARAAN CIKGU JAMIL

Masa sungguh pantas berlalu, sudah 4 tahun Hj Jamil mengetuai SMKTAR. Namun terasa seperti sungguh baru beliau bersama warga STAR. Banyak lagi perancangan yang belum tertunai, banyak juga harapan belum tercapai, dan banyak sungguh impian yang belum terlaksana.

Namun jasa beliau sudah tidak terhitung oleh jemari saya, sudah penuh catatan kebanggaan yang dilakar oleh Hj Jamil, banyak sungguh. Merubah suasana budaya STAR, memacu STAR kearah kejayaan sepanjang 4 tahun seakan tidak puas. Keringat yang beliau curahkan terlalu banyak, padat dengan ilmu dan pengalaman, sarat dengan kematangan dan kecerdikan, licik memain perasaan, serta tegar menghadapi cabaran.

Walau sedalam mana tulisan ini cuba mengangkat jasa HJ Jamil, ia masih tidak mampu mengungkapkan segalanya yang ternyata sempurna, bersih, dan berwibawa. Beliau istiqamah memajukan STAR, beriltizam tinggi untuk memastikan nama STAR dijulang tinggi.
Saya amat teruja untuk bersama HJ Jamil membaca surah Yassin pada setiap bulan, mendengar terjemahan doa Yassin yang menyentuh kalbu, menggegar iman di dada, terasa begitu kecil diri ini disisiNYA. Alunan suara seorang pengetua membimbing bacaan yassin seluruh warga STAR selama 4 tahun. Sungguh...tidak jemu. mungkin rindu bertandang selepas ini. Menyuntik semangat ingin berbakti kepada agama, bangsa dan negara. secara diam menjadi idola dan impian untuk mencontohinya.

Saya akan menulis lagi hal biodata HJ Jamil dalam "post" yang akan datang, catatan ini adalah sekadar secebis kisah HJ Jamil dari sudut pandangan saya.

Sambungan.....

Kelibat Hj Jamil mengimbau kepada mahaguru yang pernah saya kagumi. mungkin Dato Razali Ismail, Mantan Timbalan Menteri Pelajaran tidak asing untuk pembaca semua, Beliau merupakan pensyarah yang pernah mengajar saya semasa saya baru menapak dalam profesyen ini. Dato Razali adalah insan yang benar-benar menjadikan saya seorang guru, yang penuh azam dan tekad untuk berkhidmat kepada masyarakat. Bersama beliau saya menanam azam untuk menjadi terbaik. Saya tidak menyangka pelajaran di Maktab Perguruan Pasir Panjang, Kuala Terengganu begitu mengesankan. Di sana saya belajar makna guru.

Saya terpegun dengan daya kepimpinan HJ Jamil, kalau saya gambarkan gayanya adalah seperti silat....silat bunga. Dalam setiap tarinya ada bunga, dalam bunganya ada buah, dalam buahnya ada isi, dalam isinya pula ada rasa. sempurna. Adakalanya soalan dijawab soalan, adakalanya jawapan diberi soalan dipinta!!!, membuat akal saya ligat mencari makna. APA? saya teringat satu pepatah, "berkilat ikan di air sudah ku tahu jantan, betina." mungkin inilah yang ada dalam minda HJ Jamil. Saya mencuba membaca beberapa buku kepimpinan, namun ilmu itu tidak dapat saya fahami tanpa adanya pengalaman sebagai hamparan untuk mencapai makna.

Namun saya akur, setiap perjalanan ada penamatnya. HJ Jamil sudah sampai ke penghujung jalan. Muatannya sarat dengan pengalaman, hatinya penuh dengan kepuasan, mindanya berbunga dengan ilmu pengetahuan yang sangat berharga. bakal tersimpan kemas dalam lipatan pengalaman sebagai kenangan yang mengundang senyum tatkala hari-hari sepi mengunjung tiba.

Saya belum puas memintal cerita, namun masa agak mencemburui saya. catatan akan saya sudahkan apabila luang menjelma. Tabik kepada HJ JAMIL

No comments:

Post a Comment